Reporting the underreported threat of nuclear weapens and efforts by those striving for a nuclear free world.

A project of The Non-Profit International Press Syndicate Group with IDN as flagship agency in partnership with Soka Gakkai International in consultative
status 
with ECOSOC.

 

The Political Significance of the UN Nuclear Ban Treaty - Malay

Signifikan Perjanjian Pengharaman Senjata Nuklear PBB Dari Segi Politik

Image source: IIP

Sudut Pandangan oleh Thomas Hajnoczi *

VIENNA (IDN) – Dengan mula dikuatkuasakan pada 22 Januari, Perjanjian Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) akan menjadi undang-undang antarabangsa terikat untuk Negara Berpihak yang bilangannya semakin bertambah, pada masa ini 51 buah negara. Apatah lagi, ia juga memberi kesan kepada negara yang tidak berhasrat untuk menyertainya.

Negara-negara bersenjata nuklear itu sendiri mengakui keberkesanan TPNW dengan kempen mereka menentangnya. Mereka sepatutnya mengabaikannya sahaja daripada mendesak negara lain untuk tidak menandatangani dan menyokongnya.

TPNW dengan jelas telah mendedahkan kelemahan usaha mereka untuk memenuhi obligasi mereka terhadap pelucutan senjata nuklear dalam Artikel VI Perjanjian Gencatan Senjata Nuklear. Semenjak penguatkuasaan Perjanjian Gencatan Senjata Nuklear 50 tahun dahulu, negara-negara bersenjata nuklear bukan sahaja telah gagal untuk melucutkan senjata, malah belum memulakan pun perencanaan pelan untuk bagaimana melaksanakannya.

Sebaliknya, mereka melabur bertrilion-trilion dolar dalam memodenkan gudang senjata mereka, membangunkan generasi baharu senjata nuklear yang jauh lebih sofistikated dan menurunkan ambang untuk kegunaannya.

Selama bertahun-tahun, Amerika Syarikat telah dicatatkan dalam rekod di PBB untuk mengakui bahawa mereka berusaha ke arah dunia bebas nuklear dan bahawa dunia seumpama itu memerlukan norma pengharaman yang terikat di bawah undang-undang. Oleh itu, bukanlah konsep TPNW itu yang bertikaian, hakikatnya adalah ia telah diwujudkan oleh majoriti negara tanpa menunggu negara-negara bersenjata nuklear.

Negara-negara bersenjata nuklear telah dijemput untuk berunding, tetapi mereka lebih gemar memboikotnya. Malah, sesetengahnya meletakkan tekanan ke atas negara-negara yang telah memilih untuk meletakkan diri mereka di bawah payung nuklear mereka untuk menjauhkan diri daripada perundingan. Dengan melakukan sebegitu, bolehlah dikatakan bahawa negara-negara bersenjata nuklear telah melanggar Artikel VI Perjanjian Gencatan Senjata Nuklear yang mensyaratkan mereka “untuk berusaha ke arahnya dengan keyakinan yang baik dan memuktamadkan perundingan yang membawa kepada pelucutan senjata nuklear”.

Negara-negara bersenjata nuklear bersuara menentang rundingan, berkeras mengatakan bahawa norma pengharaman hendaklah diwujudkan hanya apabila hampir tiada lagi senjata nuklear yang tinggal. Ini ternyata amat bercanggah dengan sejarah pengharaman kelas-kelas senjata pemusnah besar-besaran yang lain. Seandainya alur pemikiran begini yang bakal menguasai, pengharaman senjata bahan kimia juga tidak akan wujud, memandangkan pemusnahannya masih belum dihabiskan.

Tanpa norma pengharaman terhadap senjata bahan kimia dikuatkuasakan, penggunaanya oleh Syria dan negara lain dalam tempoh beberapa tahun lepas mungkin tidak melanggar undang-undang antarabangsa. Contoh ini, sebagaimana banyak lagi contoh lain mengenai senjata konvensional, mengukuhkan alasan mengapa pengharaman sesuatu kelas senjata sentiasa menjadi bayangan pemusnahannya.

Kempen menentang TPNW berkisar pada pertikaian bahawa TPNW tidak menghapuskan satu pun muncung perang nuklear. Kritikan ini ibarat meludah ke langit bagi negara-negara bersenjata nuklear itu sendiri, kerana tiada perjanjian dan tiada negara tidak bersenjata nuklear yang boleh memusnahkan senjata nuklear mereka untuk mereka. Selagi mereka gagal melaksanakannya, selagi itulah risiko terhadap kemanusian akan berpanjangan.

Atas sebab itu, TPNW menjadi satu perjanjian pengharaman berfokus yang menggariskan prosedur terperinci untuk penghapusan dan penentusahan hinggalah peraturan akan datang dengan negara-negara yang memiliki senjata nuklear, sebaik sahaja mereka menyertai perjanjian. Oleh kerana mandat perundingan telah pun diekspresikan, TPNW direka bentuk untuk mengetuai pemusnahan senjata nuklear sepenuhnya. TPNW mewujudkan asas yang amat diperlukan di mana langkah-langkah undang-undang dan praktikal selanjutnya boleh dibina.

Apa yang digariskan oleh TPNW adalah senjata nuklear secara asasnya bercanggah dengan nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa. Semenjak pengeboman Hiroshima dan Nagasaki memang wajarlah ia diperbahaskan bahawa penggunaan senjata nuklear melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, kerana senjata-senjata ini membawa kepada kesengsaraan dan membunuh kebanyakannya orang awam. Penjelasan yang diperlukan bahawa senjata nuklear adalah salah di sisi undang-undang telah akhirnya dibentuk oleh TPNW.

Sesungguhnya, malapetaka kemanusian yang diakibatkan oleh senjata nuklear dan risiko tidak masuk akal yang ia bawa menjadi motivasi utama untuk proses yang membawa kepada penggunapakaian TPNW. Pertelagahan nuklear yang sedikit sekalipun akan menyebabkan kesan global seperti “musim sejuk nuklear ".

Agak banyak juga bilangan kes yang didokumentasikan di mana salah faham, ralat atau kepincangan teknikal hampir-hampir menyebabkan peledakan senjata nuklear. Tiada kapasiti respons krisis kemanusian yang wujud atau sama sekali dapat diwujudkan yang mampu menangani kemusnahan kemanusiaan yang bakal disebabkan oleh senjata nuklear. Atas sebab-sebab itu, satu-satunya jaminan bahawa malapetaka seumpama itu tidak berlaku adalah dengan mengharamkan dan memusnahkan seluruhnya senjata nuklear.

TPNW menghapuskan keperluan untuk menyimpan senjata nuklear atas alasan supaya tidak diserang, pada ketika dalam sejarah di mana konsep yang terlahir daripada dunia dwipolar era Perang Dingin dipersoalkan berdasarkan fakta. Bagaimanakah penyimpanan senjata nuklear boleh dianggap berkesan dalam dunia multipolar dan digital, kalau penggodaman siber ke atas sistem nuklear boleh berlaku dan senjata hipersonik semata-mata dengan kelajuan dan laluan bukan balistiknya sahaja sudah mampu melampiaskan serangan pertama tanpa tindakan balas?

Selain itu, kredibiliti konsep menyimpan senjata nuklear untuk tujuan menghindari serangan menjuruskan kepada keperluan kesiapsiagaan untuk menggunakan senjata nuklear lalu membunuh berjuta-juta orang, termasuk penduduk negara itu sendiri. Sebagaimana yang pernah diucapkan oleh Presiden Reagan tentang penyimpanan senjata nuklear atas tujuan menghindari serangan sebagai satu cara untuk memastikan bahawa senjata nuklear tidak akan sama sekali digunakan: “Tetapi bukankah lebih elok kalau tiada langsung senjata nuklear?"

Pengharaman membayangkan bahawa negara-negara mestilah tidak membina strategi keselamatan mereka dengan bergantung pada senjata nuklear. Ini melibatkan bukan sahaja negara-negara bersenjata nuklear, tetapi juga negara-negara yang telah memilih untuk mengasaskan keselamatan mereka pada kebergantungan senjata nuklear negara lain. TPNW mendedahkan percanggahan dalam pendirian apa yang dipanggil “negara-negara payung’ ini yang mengaku untuk berusaha ke arah penghapusan senjata nuklear namun pada masa yang sama ingin kewujudan berterusannya untuk “perlindungan” mereka.

Sepertimana di kebanyakan negara payung, majoriti populasi menyebelahi kepada menyertai TPNW, dinamik ini boleh membawa kepada perbahasan serius tentang pelucutan senjata nuklear yang boleh menyebabkan perubahan pada pendirian terhadap pelucutan. Kesan lain TPNW adalah trend semakin berkembang untuk menyahlabur daripada syarikat yang terlibat dalam industri senjata nuklear. Bukan sahaja dana awam terbesar yang mengambil jalan ini, tetapi juga bilangan dana pelaburan bank yang semakin meningkat juga turut melakukannya.

Penguatkuasaan TPNW berlaku serentak dengan pandemik global, ancaman kepada keselamatan global, nasional dan peribadi yang tidak dapat dilawan oleh senjata nuklear. Kebanyakan daripada cabaran kontemporari utama terhadap keselamatan bermula dengan perubahan iklim tidak dapat ditangani dengan senjata, apatah lagi senjata nuklear. Sebaliknya pula, program pemodenan dan penyelenggaraan sistem senjata nuklear menyedut dana yang sangat diperlukan untuk menangani cabaran yang sedia nampak terhadap keselamatan.

Konsep keselamatan yang lebih meluas juga telah menentukan rangkuman istilah TPNW. Keselamatan nasional dan kemanusiaan membawa maksud yang sama: keselamatan rakyat yang mendiami negara tertentu. Sekiranya negara mereka sendiri menggunakan senjata nuklear, rakyatnya pasti akan menderita dengan cara yang mengharukan dan kelangsungan hidup mereka menjadi mudarat: pertama, oleh serangan balas senjata nuklear yang dijangkakan dan kedua, kemanusiaan itu seluruhnya, oleh bahana kemanusiaan global daripada perang nuklear. Ini bukanlah keselamatan.

Impak global senjata nuklear menjadikan pelucutan senjata nuklear satu isu di mana semua negara mempunyai taruhan dan suara ke atasnya, memandangkan semua akan terkesan. TPNW ialah perjanjian pelucutan senjata nuklear pertama yang mencerminkan fakta ini dengan meletakkan tahap layanan yang saksama.

TPNW juga telah menetapkan standard baharu yang akan menjadi normal baharu dari segi lain. Dalam usaha melaksanakan TPNW, masyarakat sivil telah memainkan peranan yang menentukan keputusan. Impak daripada penemuan para saintis telah memaklumkan perundingan. NGO dan Jawatan Kuasa Antarabangsa Palang Merah telah menyumbang besar sepanjang keseluruhan proses yang telah diperakui dengan penganugerahan Hadiah Nobel Keamanan kepada ICAN (Kempen Antarabangsa untuk Menghapuskan Senjata Nuklear).

Pendekatan berbilang pemegang taruh telah dibentuk sebelum ini untuk isu-isu siber dan alam sekitar dan kini menjadi pendekatan yang telah banyak digunakan berkenaan dengan jerangkap samar anti-personel dan peluru tabur. Dengan TPNW ia telah mencapai kawasan pelucutan senjata nuklear. Hal ehwal keselamatan tidak lagi eksklusif kepada ketenteraan dan diplomat sahaja.

Akhir sekali, TPNW dengan sewajarnya menyebut tentang penderitaan tidak sepatutnya yang dialami oleh golongan hibakusha, iaitu mangsa pengeboman nuklear dalam tahun 1945. Ia mengandungi kewajipan terhadap bantuan mangsa dan pemulihan alam sekitar. Dalam rundingan, kesan kehidupan sebenar akibat senjata nuklear ini adalah satu motivasi yang kuat. TPNW telah berjaya dalam meletakkan nasib individu di tengah-tengah. Perjanjian pelucutan senjata pada masa depan seharusnya menjadi satu kenyataan selepas itu. [IDN-InDepthNews – 20 Januari 2021]

* Duta (bersara) Dr. Thomas Hajnoczi berkelulusan doktor undang-undang daripada University of Vienna dalam tahun 1977 dan merupakan Pengarah Pelucutan, Kawalan dan Gencatan Senjata di Kementerian Persekutuan Austria untuk Hal Ehwal Eropah dan Antarabangsa.

Sumber imej: IIP.