Calls for Making Global Nuclear Test Ban Legally Binding - Malay

Seruan untuk Menjadikan Larangan Ujian Nuklear Global Sah Di Sisi Undang-undang

Oleh Ramesh Jaura

Photo: Participants of the 2018 CTBTO GEM – Youth International Conference in Astana. In the front is ATOM Project leader, Honorary Ambassador and artist Karipbek Kuyukov. Behind him: Kazakh Foreign Minister Kairat Abdrakhmanov (on the right) and CTBTO Executive Secretary Dr Lassina Zerbo (on the left). Credit: CTBTO. | Photos of Kazakh Foreign Minister Abdrakhmanov and Dr Zerbo in the text are by Katsuhiro Asagiri, IDN-INPS Multimedia Director.

BERLIN | VIENNA | ASTANA (IDN) – Menteri Luar Negeri Kazakhstan, Kairat Abdrakhmanov, dan Setiausaha Eksekutif CTBTO, Dr Lassina Zerbo, telah menyeru semua Penandatangan Negara "untuk berusaha untuk memastikan larangan ujian nuklear menjadi sah di sisi undang-undang dengan mencapai penguatkuasaan" Perjanjian Larangan Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT) yang berada dalam keadaan limbo selama 22 tahun.

Seruan lantang ini disokong oleh Menteri Luar Negeri Jerman, Heiko Maas, yang telah dipilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan untuk 2019-2020. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan untuk menandakan Hari Antarabangsa menentang Ujian Nuklear (IDANT) pada 29 Ogos, beliau menyatakan: "Bahaya yang ditimbulkan oleh senjata nuklear amat konkrit apabila bercakap tentang ujian nuklear. Meskipun terdapat larangan de facto, ujian-ujian ini masih dilakukan. Hanya setahun lalu, Korea Utara telah melakukan ujian nuklearnya yang terkini."

Oleh itu, keutamaan tertinggi Jerman ialah untuk terus memerangi percambahan senjata nuklear dan mencegah ujian nuklear untuk pembangunan selanjutnya.

"Adalah jelas bahawa kita memerlukan penguatkuasaan pantas CTBT," tambah Maas. Ia akan menetapkan alat pengikat undang-undang antarabangsa yang secara universal melarang ujian nuklear. "Kami bekerja sedaya upaya untuk mencapai matlamat ini, bersama dengan rakan-rakan kami di Eropah dan di tempat lain. Negara-negara yang belum meratifikasi dan menandatangan CTBT harus melakukannya."

Dalam satu kenyataan bersama, Menteri Luar Negeri Kazakhstan dan Setiausaha Eksekutif Pertubuhan Perjanjian Larangan Ujian Nuklear Komprehensif (CTBTO) menegaskan kepentingan sejarah Hari Antarabangsa menentang Ujian Nuklear pada 29 Ogos. Perhimpunan Agung PBB telah mengisytiharkan hari tersebut berdasarkan inisiatif Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev. Mereka menekankan bahawa ia "adalah hari simbolik bagi Kazakhstan disebabkan penutupan tapak ujian nuklear Semipalatinsk [tempat pengujian utama untuk senjata nuklear Soviet Union] pada tahun 1991."

Kenyataan bersama yang diterima di Astana, ibu kota Kazakhstan, semasa Persidangan Antarabangsa Belia 2018 yang berlangsung selama lima hari untuk Kumpulan Belia CTBTO dan Kumpulan Orang-orang Cemerlang (GEM) - dari 28 Ogos hingga 2 September - juga menyeru semua Negara "untuk meneruskan moratorium berkenaan letupan ujian nuklear," dan mendesak “negara-negara yang belum menandatangani atau mengesahkan Perjanjian tersebut untuk berbuat demikian dengan segera."

Kenyataan bersama di Astana mengesahkan seula komitmen Kazakhstan dan CTBTO untuk mewujudkan dunia yang bebas daripada ujian nuklear dan memperbaharui ketetapan mereka untuk mencapai penguatkuasaan CTBT.

"Selama 22 tahun yang lepas, CTBT merupakan suar harapan," kata Menteri Luar Negeri Abdrakhmanov dalam ucapan perasmian Persidangan. "Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan baru-baru ini oleh Setiausaha Agung PBB, keamanan global masih sukar untuk dicapai. Kekurangan keinginan politik yang sama adalah penghalang utama dalam laluan kita ke arah dunia bebas nuklear."

Beliau menarik perhatian kepada fakta bahawa Mesyuarat Pleno Peringkat Tertinggi Perhimpunan Agung PBB akan diadakan di New York pada 6 September untuk memperingati Hari Antarabangsa Menentang Ujian Nuklear.

Keselamatan global dan masa depan yang selamat untuk generasi akan datang hanya dapat dijamin apabila dunia bebas daripada senjata nuklear, katanya. Projek ATOM (Abolish Testing is Our Mission, yang bermaksud: Memansuhkan Ujian adalah Misi kami), dan Duta Kehormatnya dan artis, Karipbek Kuyukov, telah melakukan pelbagai usaha dalam hal ini.

"Sebagai langkah seterusnya, kami menggalakkan negara-negara untuk menyatakan sokongan mereka kepada Perjanjian Larangan Senjata Nuklear," kata Menteri Luar Negeri Kazakhstan. Kazakhstan telah menandatangani Perjanjian tersebut pada 2 Mac 2018 dan sedang bersedia untuk pengesahannya.

IDANT telah diperingati di seluruh dunia pada 29 Ogos dengan acara-acara yang berlangsung di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dan Vienna, serta di Astana. Tarikh yang sangat simbolik ini menandakan ulang tahun ujian nuklear Soviet yang pertama pada tahun 1949 dan penutupan tapak ujian nuklear Semipalatinsk. Dalam tahun-tahun yang berselang, 456 ujian telah dijalankan di tapak tersebut, dengan akibat yang dahsyat. Di peringkat global, lebih daripada 2050 ujian nuklear telah dijalankan antara tahun 1945 dan 1996.

Keputusan bersejarah untuk menutup tapak ujian Semipalatinsk, yang dibuat oleh Presiden Kazakhstan pada 29 Ogos 1991, telah menghantar mesej politik yang kuat dan menyumbang kepada usaha antarabangsa yang membawa kepada penerimaan CTBT pada tahun 1996, menurut kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama itu menambah, selama bertahun-tahun, Kazakhstan telah memberikan sokongan kuat kepada CTBTO dan menunjukkan tekad untuk mencapai penghapusan senjata nuklear. Pada tahun 2008, CTBTO telah mengadakan latihan lapangan bersepadu pemeriksaan tapak (OSI) berskala besar yang pertama di Semey, yang dikenali sebagai Semipalatinsk sehingga tahun 2007. Pada tahun 2015-2017, Kazakhstan, bersama dengan Jepun, telah mempengerusikan bersama Proses CTBT Perkara XIV untuk memudahkan penguatkuasaan segera Perjanjian tersebut.

"Kazakhstan, sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB untuk 2017-2018, tidak berputus asa menyokong usaha-usaha antarabangsa yang bertujuan untuk memperkukuhkan rejim pengawalan nuklear global, dengan menekankan bahaya senjata nuklear terhadap keamanan dan kestabilan dunia," menurut penyataan tersebut.

Dr Zerbo dari CTBTO berkata bahawa CTBT adalah "elemen yang membina keyakinan, memastikan bahawa tiada ujian nuklear yang tidak dikesan, penyatu untuk NNWS [negara-negara tanpa senjata nuklear] dan NWS [negara-negara dengan senjata nuklear] dan asas yang kukuh untuk meneruskan dialog dan memperluaskan kerjasama".

Dalam satu kenyataan yang diedarkan dari Vienna, Dr Zerbo – yang baru kembali beberapa hari sebelum itu dari lawatan ke Republik Korea, di mana beliau membincangkan keadaan Semenanjung Korea dengan pegawai-pegawai kanan dan anggota masyarakat sivil - berkata: "Perbincangan tersebut telah memperkukuhkan keyakinan saya bahawa CTBT dan organisasinya boleh memainkan peranan penting dalam mencari penyelesaian yang kekal kepada masalah nuklear di Semenanjung Korea."

Perjanjian tersebut dan rejim pengesahannya, serta kepakaran dan keupayaan Suruhanjaya, semuanya lebih relevan untuk menyumbang kepada proses penghapusan senjata nuklear di Semenanjung Korea, tambahnya.

Di ibu pejabatnya di Vienna, CTBTO bersama-sama dengan Misi Tetap Kazakhstan – dengan sokongan Perkhidmatan Maklumat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu – telah menganjurkan acara pameran dan peringatan untuk ahli-ahli komuniti diplomatik, kakitangan organisasi antarabangsa yang berpusat di Vienna dan masyarakat awam.

Pada acara itu, CTBTO dan Perdamaian dan Kerjasama (sebuah NGO Sepanyol), telah melancarkan bersama Kempen Seni Pelajar Global 2018 "Untuk Dunia yang Lebih Selamat -- Bergabung dengan CTBTO". Kempen ini akan melibatkan pelajar sekolah di seluruh dunia untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keperluan untuk menamatkan ujian nuklear dan berakhir dengan upacara anugerah dan pameran seni pada Persidangan Sains dan Teknologi CTBTO 2019. [IDN-InDepthNews - 30 Ogos 2018]