Nuclear Deterrence Policy Gathering Steam in India - Malay

Dasar Penghalangan Nuklear Sedang Mendapat Sambutan di India

Oleh Sudha Ramachandran

BANGALORE (IDN) – "Walaupun India sebuah negara kuasa nuklear yang tidak rela, penghalangan nuklear akan terus memainkan peranan yang penting dalam strategi keselamatan negara India dalam beberapa dekad yang akan datang," kata Brigadier Gurmeet Kanwal, Felo Bertauliah di Institut Pengajian dan Anaisis Pertahanan India (IDSA).

Dalam buku terkini beliau 'Sharpening the Arsenal: India's Evolving Nuclear Deterrence Policy', beliau menjelaskan sebabnya: "Hanya apabila musuh-musuh India yakin bahawa India memiliki kedua-dua semangat politik dan ketenteraan dan perkakas untuk bertindak balas kepada serangan nuklear dengan serangan balas berat yang akan menyebabkan terkorbannya nyawa manusia dan kerosakan material tidak terhingga yang tidak boleh diterima, barulah mereka akan dihalang."

Adalah berdasarkan persepsi inilah, pada 18hb Januari India telah dengan berjayanya menjalankan penerbangan ujian Agni-V, sebuah misil balistik antara benua jarak jauh (ICBM) yang berkemampuan nuklear.

“Ini merupakan ujian kelima misil ini dan ujian ketiga yang berturut-turut daripada kanister di atas pelacar mudah alih jalanan. Kesemua lima misi telah berjaya,” kata Kementerian Pertahanan India (MoD) dalam suatu pernyataan, dan menambah bahawa ini seterusnya mengesahkan kredibiliti penghalangan nuklear India.

Sementara Agni-I dan II yang berjarak lebih pendek dibangunkan dengan memikirkan tentang Pakistan, Agni-V dijangka akan “memberikan India penghalangan disuasif menentang China yang amat diperlukan.” Agni-V mempunyai lingkungan serangan lebih daripada 5,000 km dan boleh menghantar sebuah kepala nuklear kepada hampir seluruh China.

Kejayaannya yang terbukti secara berterusan mencadangkan bahawa Agni-5 akan dimasukkan ke dalam Perintah Strategik India tidak lama lagi.

Ia akan menjadi “satu lagi langkah dalam usaha India untuk memodenkan kemampuan misil nuklearnya,” kata seorang pegawai kanan dalam Organisasi Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO) kepada IDN, dan menambah bahawa India telah “sekali lagi memperkukuhkan kepercayaannya dalam penghalangan nuklear sebagai tunggak dasar keselamatan negaranya.”

Punca komitmen seperti ini, yang menggariskan komitmen India yang berdekad-dekad lamanya kepada penyahsenjataan nuklear global, boleh dikesan ke tahun 1945. Apabila Amerika Syarikat menggugurkan bom nuklear di Hiroshima dan Nagasaki, Mahatma Gandhi mengecam penggunaannya sebagai “penggunaan sains yang paling durjana.” Komitmen India yang merdeka kepada dunia yang bebas daripada senjata nuklear dipengaruhi oleh persepsi bahawa senjata nuklear itu tidak bermoral.

Mengesan evolusi dasar penyahsenjataan India merentasi empat fasa yang luas, M. V Ramana, Pengerusi Simons dalam Penyahsenjataan, Global dan Keselamatan Manusia di Institut Liu untuk Isu Global di Universiti British Columbia, dan pengarang kepada The Power of Promise: Examining Nuclear Energy in India memberitahu IDN bahawa ketika fasa pertama, contohnya tempoh apabila Jawaharlal Nehru menjadi Perdana Menteri (1947-64), komitmen India kepada penyahsenjataan nuklear berada di tahap yang tertinggi.

Nehru “amat berminat untuk melakukan apa yang terdaya untuk menggalakkan lagi penyahsenjataan nuklear” dan menyumbang kepada inisiatif yang “memberi signifikan jangka panjang kepada penyahsenjataan nuklear,” kata beliau. Yang paling penting, India di bawah Nehru mengelak daripada membangunkan senjata nuklear.

Ini berubah ketika fasa kedua (1964-74). Berikutan kekalahannya dalam peperangan sempadan 1962 dengan China dan ujian nuklear Cina di Lop Nor pada tahun 1964, India telah mula membangunkan senjata nuklear dan menjalankan ‘Letupan Nuklear Aman’ pada tahun 1974. Pada masa yang sama, India menggesa penyahsenjataan nuklear global dalam tempoh ini tetapi semua ini “percubaan lemah” yang “tidaklah seberapa,” kata Ramana.

Fasa ketiga polisi penyahsenjataan India (1974-1998) bermula dan berakhir dengan ujian nuklear di Pokhran. Program senjata nuklear India “sedang berevolusi dengan perlahan” ketika ini, terutamanya pembangunan misil Prithvi dan Agni. Tetapi “terdapat had-had yang dikenakan sendiri ke atas program senjata nuklearnya,” kata Ramana.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Indira Gandhi dan anak lelaki yang juga pengganti beliau, Rajiv Gandhi, berjuang ke arah penyahsenjataan nuklear global. Dalam sebuah ucapan di Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1988, Rajiv Gandhi mencadangkan ‘Pelan Tidakan untuk Menyambut Orde Dunia yang Bebas Senjata Nuklear dan Tidak Ganas’ yang berbataskan masa.

Tidak seperti tiga fasa yang terawal, fasa keempat dasar penyahsenjataan nuklear India, yang bermula pada tahun 1998, telah melihat India “tidak melakukan apa-apa usaha yang signifikan ke arah penyahsenjataan nuklear,” kata Ramana. Yang lebih penting lagi, India telah mengelak daripada menyokong perjanjian yang boleh mengehadkan program senjatanya sendiri.

Sebagai contoh, India menjauhkan diri daripada rundingan yang membawa kepada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu mengamalkan Perjanjian ke atas Larangan Senjata Nuklear yang bersejarah pada Julai 2017.

“Kurangnya perbincangan penyahsenjataan yang diadakan bersifat hipokrit,” ujar Ramana, kerana ia telah ditambah dengan pembinaan armada nuklearnya.

Manpreet Sethi, Felo Kanan dan ketua projek Keselamatan Negara di Pusat Kajian Kuasa Udara (CAPS) yang berpangkalan di Delhi, tidak bersetuju. Keinginan India untuk penyahsenjataan “bukannya penipuan,” beliau memberitahu IDN.

“Komitmen India kepada penyahsenjataan dan usahanya dalam membina penghalangan yang berkredibiliti, termasuk mengoperasikan Agni-5, merupakan dua cabang daripada kepentingan keselamatannya,” kata Sethi.

Oleh kerana “kejiranannya yang bernuklear”, India tidak mampu untuk mengabaikan penghalangan dalam konteks masa kini. Akibatnya, India perlu mengekalkan penghalangan nuklear pada jangka pendek tetapi dalam jangka panjang, ia sedar bahawa keselamatan paling berkemungkinan dalam sebuah dunia yang bebas daripada senjata nuklear. Tiada dikotomi di antara kedua-duanya, isytihar beliau.

Mengikut Sethi, sehingga dunia mencapai perjanjian penyahsenjataan yang dirunding secara multilateral, universal dan boleh disahkan, usaha India ke arah penghalangan merupakan cara yang berhemat untuk mencapai keselamatan – terutamanya tatkala kepentingan senjata nuklear kepada strategi lima ahli kekal Lembaga Keselamatan PBB (Britain, Perancis, Rusia, China dan Amerika Syarikat) telah bertumbuh dengan pesat.

Penilaian Postur Nuklear Presiden A.S. Donald Trump mendedahkan bahawa A.S. lebih rela daripada sebelumnya untuk menggunakan senjata nuklear, termasuk sebagai tindak balas kepada “situasi yang ekstrem,” walaupun serangan bukan nuklear ke atas infrastruktur dan orang awam.

Ini telah menghantar “isyarat yang tidak baik kepada negara seperti India dan China,” kata Ramana. Sekiranya sesebuah negara seperti A.S. dengan kemampuan senjata konvensional yang besar perlu melabur dalam senjata nuklear yang boleh digunakan, ia akan menjadikan perancang ketenteraan di India dan China lebih cenderung ke arah idea yang sama.

Di India, gesaan untuk memodenkan kepala perang nuklear dan sistem penghantarannya sedang menjadi lebih kuat.

Terdapat juga tanda yang semakin menjadi-jadi bahawa India mungkin akan mengabaikan dasar ‘tiada penggunaan pertama’ yang diamalkan setelah sekian lama. Ini akan menjadikan India lebih rela untuk menggunakan senjata nuklear ke atas Pakistan sebelum Pakistan melakukannya, supaya dapat menyahsenjatakannya untuk memastikan bahawa bandar raya India tidak akan terdedah kepada serangan-serangan nuklear Pakistan. [IDN-InDepthNews - 06 Mac 2018]